JOHOR BAHRU – Seorang pengurus jualan syarikat elektronik berputih mata setelah mengalami kerugian berjumlah RM577,912 gara-gara terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Lim Jit Huey berkata, lelaki berusia 58 tahun itu terjerat dengan skim pelaburan tersebut apabila berkenalan dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Amy di aplikasi WeChat.
Katanya, wanita itu kemudiannya menawarkan pelaburan emas menggunakan aplikasi Upbest yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh yang singkat.
“Mangsa kemudiannya berminat menyertai pelaburan berkenaan setelah dijanjikan pulangan sebanyak 10 peratus daripada jumlah modal yang dimasukkan dalam tempoh 60 minit selain keuntungan juga akan diperoleh setiap kali transaksi pelaburan dilakukan.
“Kerana tertarik dan percaya dengan keuntungan yang dijanjikan, lelaki berkenaan telah mengikut arahan dengan membuat bayaran berjumlah RM577,912 ke beberapa akaun bank tempatan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Jit Huey berkata, pada permulaan mangsa berjaya menjana keuntungan daripada pelaburan tersebut namun wang keuntungan tersebut gagal dikeluarkan atas pelbagai alasan dan turut didesak untuk membuat bayaran tambahan.
“Lelaki itu mengesyaki dirinya telah ditipu dan satu laporan polis telah pun dibuat berhubung perkara berkenaan,” katanya.
Katanya, orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan dengan mudah dan dalam masa yang singkat.-KOSMO! ONLINE