WASHINGTON – White House memberi amaran kepada Israel bahawa Amerika Syarikat (AS) tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang serangan balas terhadap Iran, kata seorang pegawai kanan pentadbiran negara itu seperti dilaporkan Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Menurut pegawai tersebut, Presiden Joe Biden menggesa Israel untuk mempertimbangkan tindak balasnya dengan penuh berhati-hati.
Bercakap kepada pemberita semalam, seorang pegawai kanan pentadbiran berkata, Biden memberitahu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu agar berfikir dengan teliti dan strategik mengenai bagaimana tenteranya membalas tindakan yang belum pernah berlaku itu.
Sementara itu, laman berita The New Arab melaporkan, jurucakap keselamatan negara tertinggi White House, John Kirby berkata, AS akan terus membantu Israel ‘mempertahankan diri’ tetapi Washington enggan berperang dengan Iran.
“Seperti yang presiden (Biden) katakan berkali-kali, kami enggan perang yang lebih meluas tercetus di rantau ini. Kami tidak mahu berperang dengan Iran,” tambah Kirby.
Lebih 300 dron dan peluru berpandu disasarkan ke arah Israel sejak malam kelmarin hingga semalam yang menurut Iran, sebagai tindak balas kepada serangan 1 April lalu ke atas konsulatnya di Syria.
Bagaimanapun, hampir semua serangan dipintas oleh tentera Israel, AS dan sekutunya sebelum ia mencapai sasaran. – AGENSI