PUTRAJAYA – Kerajaan akan memastikan keselamatan jemaah haji dan umrah Malaysia terjamin berikutan situasi terkini di Asia Barat ekoran serangan balas Iran terhadap Israel semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan seperti Wisma Putra, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) termasuk Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi akibat ketegangan yang berlaku.
Jelasnya, setakat ini, Tabung Haji masih meneruskan persiapan bagi Musim Haji 2024 seperti yang dirancang.
“Semua pihak adalah dimohon untuk terus bertenang serta sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa dari semasa ke semasa untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih,” katanya dalam kenyataan tadi.
Katanya, pada masa sama, pihaknya sentiasa memantau situasi terkini susulan serangan balas Iran terhadap Israel yang sudah tentu meningkatkan ketegangan berlarutan sejak lebih 7 bulan lalu.
Ia akibat kedegilan dan kekejaman rejim Zionis Israel terhadap penduduk Palestin yang tidak berdosa. – KOSMO! ONLINE