BAGHDAD – Iraq membuka semula ruang udaranya hari ini, beberapa jam selepas Baghdad menggantung semua penerbangan ketika jirannya, Iran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke arah Israel, kata pihak berkuasa penerbangan Iraq.
Jordan yang berjiran dengan Iraq serta Israel dan Lebanon turut membuka semula ruang udara masing-masing setelah menutupnya sebelum ini, begitu juga dengan Israel yang mengatakan bahawa serangan Iran telah ‘digagalkan’.
Pihak berkuasa penerbangan awam Iraq berkata, pembukaan semula ruang udara dan penyambungan semula penerbangan masuk dan keluar telah dilaksanakan.
“Tiada lagi risiko keselamatan kepada pesawat awam,” kata agensi berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.
Di Jordan, ketua suruhanjaya penerbangan awam, Haitham Misto memberitahu saluran rasmi Al Mamlaka: “Ruang udara Jordan dibuka semula dan keadaan kembali normal.”
Menteri Pengangkutan Lebanon, Ali Hamie pula memberitahu AFP bahawa penerbangan awam di negara berkenaan disambung semula sejak pukul 7 pagi tadi (waktu tempatan), namun pihak berkuasa masih memantau keadaan semasa.
Israel juga membuka semula ruang udaranya pada pukul 7.30 pagi (waktu tempatan), kata pihak berkuasa lapangan terbang Israel.
Bagaimanapun, syarikat penerbangan Austrian Airlines memberitahu AFP bahawa pihaknya masih menggantung semua penerbangan ke Tel Aviv di Israel, Arbil di Iraq dan Amman di Jordan disebabkan perkembangan terkini di Asia Barat. – AFP