fbpx

Azeem ada lapan minggu lagi – Ballard

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM (tengah) bangkit menebus kekecewaannya dengan membantu kuartet 4x100m Universiti Auburn meraih pingat emas.

MASA kian suntuk buat dua pelari negara, Muhammad Azeem Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy untuk layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 berdasarkan catatan masa sewaktu menyertai kejohanan Tom Jones Memorial ­Invitational semalam.

Biarpun tidak memperoleh catatan terbaik, namun Pe­ngarah Teknikal Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard merasakan ia terlalu awal untuk menilai prestasi mereka berdua.

Pada kejohanan anjuran Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan Amerika Syarikat itu, Azeem mencatat 10.44 saat (s) dalam acara 100 meter (m) dan meletakkan namanya di tangga ke-22 daripada 75 peserta.

Bagaimanapun, Azeem bangkit menampilkan larian terbaik apabila berjaya membantu Universiti Auburn meraih pingat emas dalam acara 4×100m pada aksi di Gainesville, Florida itu.

Azeem berjaya memenangi pingat emas tersebut bersama kuartet dibarisi Favour Ashe, Dario Matau dan Kanyinsola Ajayi dengan catatan 38.64s.

“Saya fikir kedua-dua atlet (Azeem dan Shereen) ingin berlari lebih pantas hari ini. Saya sudah berkomunikasi dengan jurulatih mereka tentang apa yang berlaku pada perlumbaan itu dan mereka akan mengenal pasti masalah tersebut.

“Anda tahu, ia masih awal musim untuk mereka kerana masih mempunyai lapan ming­gu lagi untuk layak ke Sukan Olimpik.

“Apa yang saya dapat lihat Azeem beraksi dengan baik dalam acara relay (4x100m) dengan catatan 38.46s. Ia adalah catatan terbaik pada musim pertama mereka musim ini,” ­katanya ketika dihubungi ­Kosmo! semalam.

Shereen pula menamatkan saingan di tangga ke-21 dengan catatan 23.78s dalam acara 200m dan tempat ke 25 untuk 400m menerusi masa 53.39s.

Dalam pada itu, Ballard berharap kedua-dua atlet ber­kenaan segera memperbaiki teknik larian terutama Azeem yang bakal menghadapi Kejohanan Tiger Track Classic di Auburn minggu hadapan.

“Saya tidak berada di sana, cuma apa yang saya lihat mungkin Azeem tidak melaksanakan teknik yang baik pada 30m awal untuk dia menjana kuasa pecutan mencukupi.

“Ketika ini, Azeem tidak mengalami sebarang kecederaan dan apa yang saya harapkan adalah peningkatan. Itu adalah perkara paling penting pada saat ini,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI