PETALING JAYA – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama masih perlahan susulan kepulangan warga kota dari kampung halaman sempena Aidilfitri.
Menurut laporan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di aplikasi X, trafik bergerak perlahan di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan ekoran cuaca yang mulai mendung di beberapa kawasan.
“Trafik perlahan dari Pagoh ke Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pagoh, Yong Peng ke Ayer Hitam dan Layby Simpang Renggam ke Sedenak.
“Kesesakan juga berlaku di R&R Ayer Keroh ke Layby Pedas Linggi, Pedas Linggi ke Port Dickson (U) dan Seremban ke Bandar Ainsdale,” katanya.
Sementara itu, Laluan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 menghala ke Kuala Lumpur kembali sesak sejak awal pagi.
“Trafik sesak di Persimpangan Lanchang ke Karak, Karak ke Lentang, dan Bukit Tinggi ke Genting Sempah.
“Disebabkan cuaca hujan, pandu berhati-hati dan nyalakan lampu jika perlu,” katanya.
Dalam pada itu, jumlah kenderaan di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) didapati semakin meningkat dan mula menimbulkan kesesakan.
“Di LPT2, trafik mula perlahan di R&R Paka ke Paka, Paka ke Kerteh, Kijal ke Chukai dan Cheneh ke Perasing,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik. – KOSMO! ONLINE