fbpx

Pelan transformasi EPMB berjaya catat pertumbuhan pendapatan 50 kali ganda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kejayaan melaksanakan transformasi telah memberi manfaat kepada kedudukan kewangan EPMB. -Gambar hiasan

EP Manufacturing Berhad (EPMB) yang telah berusia lebih daripada 40 tahun, terkenal sebagai pembekal automotif berstatus Tier-1 untuk syarikat pengeluar kereta terkemuka seperti Proton, Perodua, Mazda, Honda, Toyota dan Kia.

Perkembangan perniagaan tersebut kini semakin menggalakkan apabila pucuk pimpinannya diterajui oleh orang muda yang berpengalaman dalam bidang perancangan perniagaan korporat yang memiliki kelebihan dalam bidang perakaunan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPMB, Ahmad Razlan Mohamed yang mula menduduki kerusi empuk syarikat tersebut telah berjaya mengubah empayar itu melalui pelan transformasi yang dilaksanakan bagi membolehkan ia mencatat pertumbuhan pendapatan yang berganda sekali gus mencatat sejarah dalam penubuhan syarikat.

“Keputusan kami yang lebih baik ini mencerminkan hasil positif daripada langkah transformasi yang telah dimulakan pada awal 2023 iaitu memfokuskan pada operasi dan pengoptimuman kos,” katanya ketika ditemui di Petaling Jaya baru-baru ini.

Setelah setahun bersama EPMB, beliau yang memiliki latar belakang perakaunan itu semakin selesa dalam mengoperasikan syarikat dan banyak perkara yang sedang dikajinya dan bakal memperkenalkan inisiatif baharu secara berperingkat.

“Melangkah ke hadapan, kami akan terus mengukuhkan perniagaan teras dan dalam masa sama, kami akan mengejar peluang pasaran baharu dengan potensi pertumbuhan yang besar,” jelas beliau.

KOSMO!: Boleh jelaskan tentang prestasi kewangan syarikat yang semakin baik dengan mencatat pertumbuhan sehingga 50 kali ganda dalam pendapatan syarikat iaitu pertama kali dalam sejarah syarikat selama ini?
Ahmad Razlan: Saya dan pihak pengurusan melihat perniagaan ini dalam pandangan yang berbeza bagaimana kami boleh menggalakkan pertumbuhan bisnes dan mahu memastikan bahawa syarikat ini terus stabil untuk jangka panjang dan membawa syarikat ini ke peringkat seterusnya.

Jadi perkara pertama yang kami lakukan adalah melancarkan pelan transformasi yang mana kami mencari ruang dan peluang untuk memperbaiki mana-mana aspek dalam operasi, kami juga melihat aspek kos yang boleh dioptimumkan termasuk sumber manusia dan kakitangan.

Sejak pelan tersebut dilaksanakan kami telah melihat perubahan yang baik dalam masa yang singkat dan pastinya keputusannya juga amat positif.

Bila pelan transformasi tersebut dimulakan?
Pada awal suku pertama tahun lalu dan saya merancang pelan tersebut untuk tempoh dari 2023 hingga 2028.

Kenapa laksanakan pelan transformasi tersebut?
Syarikat ini telah berusia lebih daripada 40 tahun dan saya melihat pertumbuhannya stabil tetapi ‘tepu’ dengan tiada pertumbuhan yang menggalakkan sebelum ini.

Sebaik dilantik mengetuai syarikat ini, saya telah melihatdan mengkaji semula rekod lima tahun syarikat ini dari segi keuntungannya yang tidak mengga­lakkan.

Selepas bertemu dengan pelanggan tetap syarikat seper­ti Proton, Perodua, Mazda dan lain-lain, sebenarnya saya nampak banyak peluang yang wujud dalam industri ini yang boleh kita kuasai.

Kita kena pandai cari peluang dan kaji betul-betul supaya ia akan memberi pulangan yang sewajarnya kepada syarikat.

Saya juga telah berjumpa dengan pekerja dan kami meminta mereka untuk bersama-sama berjuang dalam fasa baharu ini serta memperbaiki prestasi kerja selain berupaya mengurangkan kos.

Dalam masa yang sama kami dapat meningkatkan produktiviti. Fasiliti kilang juga perlu dipertingkatkan dan kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan.

Hasilnya pada tahun ini, kami telah berjaya mencatat rekod keuntungan pertama kali dalam sejarah penubuhan.

Apakah sasaran syarikat daripada pelan transformasi tersebut?
Untuk empat tahun ini, kami akan pastikan pendapatan dan keuntungan akan terus bertambah baik setiap tahun.

Kami tidak memfokuskan kepada sasaran yang terlalu tinggi tetapi kami fokuskan pertambahan lima pe­ratus setiap tahun.

Apakah perniagaan teras syarikat?
Kami adalah pengeluar komponen kereta berasaskan logam yang dipasang dalam kenderaan keluaran Proton, Perodua dan lain-lain.

Pelanggan terbesar kami adalah Proton iaitu sebanyak 35 peratus, Perodua sebanyak 25 peratus, manakala baki 40 peratus adalah daripada syarikat automotif seperti Mazda, Honda dan sedikit dari Kia.

Kami telah menjadi pelanggan Proton sejak tahun 1997 dan kami adalah antara syarikat yang telah mendapat manfaat daripada Polisi Ekonomi Baharu (NEP) dan dari situ syarikat telah berkembang dengan baik.

Bermula hanya dengan sebuah kilang tetapi kini EPMB mempunyai lima buah kilang termasuk di Sungai Petani, Kedah; Tanjung Malim, Perak; Shah Alam, Selangor dan juga di Melaka.

Syarikat juga ada membuat perancangan untuk meluaskan cabang perniagaan kepada kenderaan elektrik (EV), boleh terangkan?
Fokus melabur dalam bidang EV adalah untuk masa depan. Kami kini bersedia ke arah perubahan tersebut dan mahu menguasai bidang tersebut.

Sehubungan itu, kami telah berbincang dengan syarikat dari China berstatus Fortune 500 dan kami akan bawa masuk EV ke pasaran tempatan.

Selain itu, kami juga telah bekerjasama dengan Great Wall Motor Co Ltd. (GWM) untuk membuat pemasangan kende­raan GWM di sini.

Apa perancangan terbaharu syarikat?
Kami sedang sibuk dengan perancangan membangunkan kilang pemasangan baharu di Melaka. Ia terletak bersebelahan dengan kilang sedia ada.

Ia adalah untuk pengeluaran dan memasang model kenderaan bagi BAIC International Development Co. Ltd dan GWM.

Tetapi pada fasa awal, ini adalah untuk model kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) iaitu kenderaan menggunakan petrol.

Kami jangkakan ia mula beroperasi pada suku ketiga tahun ini untuk pemasangan mo­del kenderaan sukan utiliti Haval. Kapasiti pengeluaran kilang baharu itu adalah kira-kira 30,000 unit untuk pasaran domestik dan juga eksport. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI