SEJAK berusia sembilan tahun lagi, sambutan Aidilfitri dalam kamus kehidupan penyanyi Aufahanie tidak sama seperti kanak-kanak seusianya.
Perceraian ibu bapa membuatkan kehidupannya berubah. Keceriaan dan kegembiraan sambutan hari raya yang sepatutnya dinikmati pada zaman warna tersebut bertukar menjadi suram.
Alah bisa, tegal biasa. Bertahun-tahun lamanya Aufahanie atau nama lengkapnya Nur Aufahanie Mokhtar menyambut lebaran tanpa sebuah keluarga yang lengkap. Berpecah-belah
Tiada lagi rasa canggung. Setiap kali tibanya hari raya, dia akan ‘berlari’ ke sana sini, membahagikan masa sama adil untuk menyambut Aidilfitri bersama kedua-dua orang tuanya.
“Saya datang dalam keluarga yang berpecah-belah. Ibu dan ayah saya bercerai ketika saya berusia sembilan tahun.
“Bertahun-tahun lamanya saya menyambut Aidilfitri tanpa keluarga yang lengkap. Tapi sekarang, saya sudah pun terbiasa dengan keadaan itu.
“Beruntungnya, walaupun ibu dan ayah telah bercerai, tapi kampung mereka dekat, cuma 20 minit sahaja jaraknya.
“Jadi, tak ada masalah untuk saya sambut hari raya bersama mereka sekarang, memandangkan saya sudah pun ada kereta sendiri dan boleh memandu,” ujarnya.
Imbas penyanyi kelahiran Sabak Bernam, Selangor itu, selepas ibu bapanya bercerai, dia telah dibawa tinggal bersama bapanya di Shah Alam, bersama seorang lagi adik perempuannya.
“Saya anak keenam daripada tujuh orang adik-beradik. Selepas ibu dan ayah bercerai, saya dan adik perempuan tinggal bersama ayah sehingga saya berusia 15 tahun (tingkatan tiga).
“Boleh dikatakan, hidup saya ketika itu tidak seronok. Sering berpindah sana sini.
“Ketika di tingkatan tiga, saya tinggal di asrama harian dan akan balik ke rumah datuk dan nenek.
“Ketika berusia 16 tahun pula, saya tinggal bersama abang dan kakak ipar. Alasannya sebab saya nak elak ibu dan ayah terasa hati.
“Apabila tinggal bersama abang pula, memang ibu dan ayah bising. Duduk sana tak kena, duduk sini tak kena sehingga saya jadi rebel (pemberontak),” jelasnya.
Hidup tenang
Membesar tanpa dikelilingi adik-beradik lain juga adakalanya mencetuska rasa kekok kepada penyanyi berusia 21 tahun itu, terutama apabila sesekali bertemu.
“Sebenarnya, sekarang barulah hubungan saya dengan adik-beradik lain baru rapat. Masa kecil agak kekok juga sebab tidak tinggal bersama. Adik-beradik perempuan tinggal dengan ayah.
“Manakala abang-abang pula tinggal dengan ibu. Tapi sekarang kami sudah rapat. Ketika saya berusia 17 tahun, baru saya rasa hidup ini tenang.
“Mungkin sudah sampai masa Allah SWT beri saya rasa ketenangan itu. Kalau tidak, memang hidup saya sangat kelam-kabut dan tidak seronok,” jelasnya.
Bagaimanapun, bekas peserta program Big Stage 2023 itu tetap bersyukur kehidupannya tidaklah begitu teruk sehingga menjadikan dirinya terpesong daripada landasan sepatutnya.
Kata pelantun Geming Jiwa itu, ketika tinggal di asrama, dia banyak ‘mencari’ Tuhan dan muhasabah diri untuk menjadi insan yang berguna suatu hari nanti.
“Sebelum ini, saya tidak jumpa siapa diri saya sebenarnya, sehinggalah saya berusia 15 tahun dan tinggal di asrama.
“Ketika itulah saya banyak dekatkan diri dengan Tuhan dan menelaah tafsir-tafsir al-Quran.
“Perkara itulah yang menyelamatkan saya untuk terpesong daripada landasan hidup. Walaupun saya hidup dalam keluarga berpecah-belah, tapi saya bersyukur kerana masih lagi menjadi ‘manusia’,” katanya.