PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menasihatkan rakyat Malaysia agar menangguhkan perjalanan ke Iran serta negara berdekatan susulan ketegangan yang memuncak di Timur Tengah.
Menurut Fadillah, Wisma Putra sedang memantau perkembangan terkini setelah Iran melancarkan serangan terhadap Israel untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di rantau terbabit.
Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu peka mengenai situasi di negara tersebut dan elakkan sebarang perjalanan ke tempat yang berisiko tinggi khususnya Iran.
“Wisma Putra sentiasa memantau keadaan rakyat kita di mana sahaja mereka berada sama ada di Iran atau negara berdekatan,” katanya ketika ditemui pemberita di Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Fazruddin Abdul Rahman, di Kuching, hari ini.
Fadillah berkata, kerajaan juga tidak akan teragak-agak untuk membawa keluar rakyat Malaysia di negara tersebut sekiranya keadaan memaksa.
“Kalau perlu kita akan membawa rakyat kita keluar daripada mana-mana tempat yang boleh berlaku risiko perang,” ujarnya.
Tambah beliau, bagi rakyat Malaysia yang bakal menunaikan ibadah umrah dah haji, mereka dinasihatkan untuk mengikuti sebarang arahan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra.
Mengulas lanjut mengenai tindakan Malaysia Airlines (MAS) mengubah laluan penerbangan antara Kuala Lumpur dan London untuk mengelak ruang udara Iran, Fadillah berkata, ia langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan pesawat serta penumpang.
“Apabila berlaku peperangan, biasanya syarikat penerbangan akan mematuhi arahan penerbangan antarabangsa untuk mengubah laluan dan situasi serupa pernah berlaku ketika perang Rusia dan Ukraine.
“Dalam hal ini, sudah pasti di Malaysia kita akan ikut, bukan sahaja MAS, malah syarikat penerbangan lain juga,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRG) telah melancarkan lebih 200 dron kamikaze, peluru berpandu kruz dan balistik ke arah Israel pada Sabtu.
Susulan serangan tersebut, ribuan manusia membanjiri jalan-jalan di Teheran hari ini sebagai tanda sokongan kepada serangan dron dan peluru berpandu yang belum pernah berlaku sebelum ini terhadap musuh ketat Iran, Israel.
Orang ramai melaungkan slogan ‘Matilah Israel!’ dan ‘Matilah Amerika!’ ketika berhimpun di Dataran Palestin, Teheran sejurus selepas IRG mengumumkan serangan ke atas Israel yang dikenali sebagai ‘Operasi Janji Kebenaran’. – KOSMO! ONLINE