SEPANG – Pengawal peribadi Ustazah Farah Cie cedera parah selepas ditembak suspek dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pagi tadi.
Menurut hantaran di Facebook Farah Cie, beliau berkata, terdapat individu telah melepaskan tembakan kepada pengawal peribadinya di KLIA.
“Kecemasan. Ada individu telah melepaskan tembakan kepada pengawal peribadi saya di KLIA1. Allahuakhbar! Laporan polis telah dibuat. Kenyataan rasmi akan dibuat,” katanya menerusi hantaran tersebut sebentar tadi.
Di ruangan komen, Farah Cie meminta orang ramai supaya mendoakan pengawal peribadinya yang dalam keadaan kritikal.
“Polis sedang memburu (suspek), keadaan KLIA sedang dikawal ketat polis dan pengawal peribadi cedera sekarang berada di Hospital Cyberjaya. Doakan ya,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE
BERITA LANJUT MENYUSUL.