PETALING JAYA – “Sejarah wei, tak penah lagi sesak dari Lanchang empat jam baru sampai ke Lentang, demam! Penuh tandas di Lentang.”
Itu antara perkongsian pengguna Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) iaitu Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK)@E8, hari ini.
‘Kekecohan’ yang berlaku di media sosial itu susulan berlakunya kesesakan luar biasa berikutan orang ramai mula pulang ke ibu kota selepas bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri.
Situasi sama turut dikongsikan beberapa pengguna lain yang menyifatkan kesesakan kali adalah luar biasa.
“Mantul, Lanchang sampai Gombak terus sesak melekat,” kongsi Muhammad Redzuan.
“Sis gerak pukul 10 pagi tadi. Dari Tol Kuala Terengganu sampai Salak Tinggi pukul 8 malam, 10 jam memandu. Sangkut sesak kat Lanchang sampai Tol Gombak tiga jam,” ujar Qilla Syaqilla.
Terdahulu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan keadaan trafik sesak di LPT1 KLK@E8.
“Aliran trafik sesak di Lanchang ke Karak, Karak ke Lentang dan Genting Sempah ke Tol Gombak,” maklum LLM menerusi kenyataannya di Facebook.