TEHERAN – Sebuah kapal kontena yang dikaitkan dengan bilionair Israel, Eyal Ofer dirampas oleh Iran hari ini berhampiran Selat Hormuz, lapor portal berita Mint.
Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom menerima laporan bahawa sebuah kapal telah dirampas oleh pihak berkuasa Iran dekat bandar pelabuhan Fujairah, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sementara itu, media kerajaan Iran melaporkan kapal itu dikenal pasti sebagai MSC Aries yang mengibarkan bendera Portugal itu beralih arah menuju perairan di wilayah Teheran.
Perkembangan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang kian memuncak antara Iran dan Israel.
Teheran sebelum ini berjanji untuk melancarkan serangan balas ke atas Tel Aviv.
Ini adalah kerana tujuh pegawai Pengawal Revolusi Iran termasuk dua komander kanan telah terbunuh pada 1 April lalu berikutan serangan udara dipercayai dilakukan oleh tentera Israel ke atas konsulat Iran di Syria. – AGENSI