fbpx

Johor paling tinggi kes pembakaran terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JBPM bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk JPS dan JAS bagi menghadapi sebarang kebakaran terutama melibatkan tanah gambut.

PUTRAJAYA – Kes pembakaran terbuka seperti di kawasan hutan dan kebun selain tapak pelupusan sampah serta belukar direkodkan banyak berlaku di Johor dengan jumlah panggilan kebakaran tertinggi iaitu 14,648 antara tahun 2019 hingga 2023.

Ia seterusnya diikuti oleh Se­langor bagi tempoh sama dengan jumlah 14,051, seterusnya diikuti Perak (8,749) dan Sabah (7,601).

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad, kes pembakaran terbuka paling tinggi direkodkan di Johor ialah pada tahun 2019 dengan 5,588 panggilan kebakaran.

Katanya, Johor turut menca­tatkan antara kebakaran terbuka tertinggi berbanding ne­geri lain pada 2020 (2,834), 2021 (2,651), 2022 (1,608) dan 2023 (1,967).

“Bagi Selangor pula, negeri itu menjadi antara kedua tertinggi mencatatkan kes pembakaran terbuka di mana sebanyak 3,372 panggilan kebakaran direkodkan pada 2019,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Ibu Pejabat JBPM di sini baru-baru ini.

NOR HISHAM

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, berdasarkan perangkaan itu, tahun 2019 merekodkan jumlah panggilan paling tinggi melibatkan kebakaran terbuka iaitu sebanyak 28,907.

“Pada masa sama, 2022 pula menjadi tahun paling rendah mencatatkan panggilan kebakaran terbuka apabila menerima hanya 9,596 panggilan sahaja,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai fenomena El Nino yang dijangka melanda negara hingga bulan ini, Nor Hisham berkata, pihaknya mengenal pasti lima negeri paling berisiko terlibat pembakaran tanah gambut ketika tempoh cuaca panas itu.

Katanya, ia melibatkan negeri Pahang, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak yang mana pernah merekodkan kes pembakaran tanah gambut ketika musim panas sebelum ini.

“Kalau di Selangor, antara kawasan berisiko melibatkan tiga lokasi iaitu Jalan Kebun selain Hutan Simpan Langat Selatan dan Hutan Simpan Langat Utara.

“Bagi negeri Pahang pula, kita akan memberi tumpuan kepada Rompin, Pekan dan Kuantan memandangkan kawasan itu sering merekodkan kes kebakaran terbuka melibatkan tanah gambut,” jelasnya.

Selain itu, menurut Nor Hisham, beberapa kawasan di Terengganu, Perak dan Pulau Pinang turut menunjukkan tompokan berisiko kebakaran tanah gambut, namun disifatkan sebagai masih terkawal.

“Antara langkah diambil JBPM dalam menghadapi situasi luar jangka itu ialah mengadakan kerjasama dengan agensi lain se­perti dengan Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Sebagai contoh, kerjasama dengan JPS dijalankan bagi membantu urusan pam kerana jabatan itu mempunyai kapasiti pam lebih besar, manakala JAS pula untuk hal berkaitan penguatkuasaan,” ujarnya.

JBPM turut akan mengaktifkan Bilik Gerakan Jerebu dan Pembakaran Terbuka sekiranya bilangan panggilan kebakaran terbuka melebihi purata panggilan serta menjadualkan pegawai bertugas di setiap bahagian bagi untuk menyelaras pemantauan dan tindak balas kes kebakaran terbuka.

“Kami juga akan menjalankan pemantauan titik panas (hot spot) melalui laman sesawang Asean Specialised Meteorological Centre (ASMC) dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melalui laman sesawang Air Pollutant Index of Malaysia (APIMS).

“Selain rondaan ke kawasan hot spot, JBPM juga mengatur gerak jentera dan peralatan pe­madaman berkaitan ke operasi pemadaman terbuka termasuk menerusi kaedah water bom­bing,” jelasnya.

Untuk rekod, JBPM sebelum ini menjelaskan akan memberi tumpuan kepada 652 lokasi hot spot berdasarkan rekod kebakaran tahun sebelum ini di seluruh negara. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI