fbpx

Balik beraya naik ‘hotel bergerak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGGAPAN ramai bahawa pemilikan motorhome hanya untuk golongan berduit wajar dikikis kerana tidak memerlukan modal yang besar untuk memiliki kenderaan rekreasi ini.

PETALING JAYA – Dilengkapi pelbagai kemudahan setara se­perti di rumah atau hotel, tidak hairan apabila kenderaan rekreasi (RV) seperti motorhome semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat untuk pulang beraya di kampung kini.

Ibarat seperti berada dalam ‘hotel bergerak’, RV tersebut boleh memuatkan sehingga lapan penumpang selain dilengkapi pelbagai kemudahan yang ada antaranya tempat tidur, tandas, dapur serta televisyen sepanjang perjalanan yang panjang dan lama.

Difahamkan, sepanjang tiga tahun ini, motorhome turut menjadi pilihan bagi keluarga yang ingin pulang ke kampung menjelang lebaran kerana keselesaan yang terjamin.

Presiden Persatuan Cam­pervan dan Motorhome Malaysia, Farman Othman berkata, tanggapan ramai yang menyatakan motorhome untuk golongan ‘kayangan’ sahaja adalah salah.

FARMAN

Jelasnya, untuk memiliki sebuah motorhome sebenarnya tidak memerlukan modal besar kerana individu yang berminat boleh mula memilikinya dengan modal dan jumlah kewangan yang ada.

“Tanggapan ini bagi saya salah, sebab untuk memilikinya boleh dilakukan dengan pelbagai cara, antaranya membina konsep yang kita mahukan dengan mo­dal yang kita ada. Motorhome banyak jenis, ada juga orang buat dengan van, malah dengan Pe­rodua Myvi pun ada, modal terpulang pada kita.

“Ada yang membelinya de­ngan model import atau recond (kereta terpakai luar negara) terutamanya dari Jepun atau United Kingdom, model-model ini juga ada pelbagai harga,” katanya.

KELENGKAPAN di dalam motorhome yang memberi keselesaan kepada penumpang ketika menempuh perjalanan jauh dan lama.

Ketika menjelaskan berke­naan motorhome yang semakin menjadi pilihan ramai terutama pada musim perayaan dan cuti sekolah, katanya, banyak sebab kenapa kenderaan ini menjadi pilihan antaranya apabila berdepan kesesakan jalan raya.

“Pertama kalau di RnR (kawasan rawat dan rehat), musim raya mesti penuh, nak ke tandas pun susah, jadi kita yang dah ada ‘rumah’ ni tiada masalah, kita berhenti sahaja di mana-mana kawasan RnR itu.

“Kedua, ketika jalan sesak te­ruk, kalau dah penat sangat kita boleh sahaja parkir ‘rumah’ ini di mana-mana tempat selamat untuk berehat seketika, tidur pun boleh dikatakan lena jika diban­dingkan dengan tidur dalam kenderaan biasa.

“Ketiga, kadang rumah keluarga di kampung tak cukup bilik jika semua adik-beradik balik, bilik air pun satu. Jadi motorhome ini alternatif selamat sebab semua sudah ada. Tiada lagi isu aurat,” katanya.

Ketika ditanya tentang kelulusan pihak berkuasa terutamanya pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Farman berkata, motorhome tidak mempunyai permit, namun kelulusan perlu diperolehi terlebih dahulu daripada pihak berkuasa.

“Kita perlu ada satu pelan terlebih dahulu jika ingin bina motorhome sendiri, pelan itu kemudian diberi kepada ejen berdaftar bagi mendapat kelulusan JPJ.

“Pada 2016, ketika mula-mula masuk dulu, kerajaan tidak memerlukan Approved Permit (AP) pun, itulah sebabnya peningkatan pemilikan motorhome ini semakin bertambah,” katanya.

Tambahnya, masa depan motorhome di Malaysia dari segi potensi peningkatan pemilikan semakin meningkat ketika ini dan akan membuatkan trend ini semakin berkembang. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI