fbpx

‘Parok boh’ sesak 6 jam dari Kota Bharu ke Gua Musang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aliran trafik perlahan di susur masuk pembinaan LTU dekat Bandar Baru, Gua Musang, hari ini. Foto AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Perantau yang mahu pulang ke ibu negara terpaksa menempuh perjalanan selama enam jam dari Kota Bharu ke Gua Musang.

Ini berikutan aliran trafik di jalan utama Gua Musang-Kuala Krai dan Gua Musang-Kuala Lipis dilaporkan perlahan hari ini.

Tinjauan Kosmo! setakat pukul 5 petang tadi mendapati jumlah kenderaan bertambah sejak kelmarin dan keadaan itu dijangka berterusan sehingga esok.

Pengguna jalan raya, Mustafa Ali Mohamad, 39, berkata, dia memilih untuk pulang ke Kuala Lumpur hari ini kerana akan bekerja semula pada Isnin ini.

Katanya, aliran trafik perlahan di laluan Jalan Machang ke Kuala Krai kerana pertambahan kenderaan.

“Saya bertolak dari Kota Bharu pukul 10 pagi dan sampai di Hentian Gua Musang enam jam kemudian. Saya berehat di Hentian Gua Musang dan kami dimaklumkan jalan sesak dekat Kuala Lipis menuju ke Plaza Tol Gombak,” katanya.

Mohd. Yusri Abdullah, 45, pula memberitahu, dia turut menempuh kesesakan terutama di bandar Kuala Krai menuju ke Gua Musang.

Katanya, terdapat beberapa kemalangan kecil berlaku sehingga mengakibatkan aliran trafik perlahan.

“Kami dijangka sampai di KL tengah malam ini. Keadaan trafik di Gua Musang masih lancar. Kesesakan berlaku di susur masuk Lingkaran Tengah Utama dekat Bandar Baru Gua Musang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI