fbpx

Di Terengganu dapat RM100, di KL RM400

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YUSOF terpaksa berkorban masa bersama keluarga dengan mencari rezeki di Kuala Lumpur.

KUALA TERENGGANU – Seorang pemandu e-hailing nekad berulang-alik sejauh lebih 450 kilometer (km) dari bandar raya ini ke Kuala Lumpur demi mencari rezeki buat keluarganya.

Yusof Mohd. Ali, 44, berkata, setiap dua minggu, dia akan berkelana ke Kuala Lumpur untuk mencari lebih ramai pelanggan bagi meraih pendapatan yang lebih lumayan.

“Pasaran di ibu kota jauh lebih besar dari Terengganu dan Alhamdulillah sepanjang berada di ibu negara, saya mampu memperoleh pendapatan sehingga empat kali ganda berbanding di sini.

“Biasanya di Terengganu, saya hanya meraih purata RM100 selepas menghantar pelanggan sehari suntuk, tetapi di Kuala Lumpur pendapatan itu me­ningkat kepada RM250 dan boleh mencecah RM400 pada hujung minggu,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad baru-baru ini.

PERMINTAAN tinggi terhadap perkhidmatan e-hailing menjadikan Kuala Lumpur lubuk orang mencari rezeki.

Yusof yang sebelum ini merupakan jurukamera berkata, dia baru beralih menjadi pemandu e-hailing setelah kurang mendapat tawaran kerja sejak tahun lalu.

Bapa kepada empat anak tersebut berkata, dia berminat untuk mencuba nasib mencari rezeki di Kuala Lumpur setelah mengetahui ramai pemandu e-hailing lain di Terengganu termasuk wanita melakukannya.

“Sepanjang pengetahuan saya, sekurang-kurangnya 10 pemandu e-hailing berasal Terengganu seperti saya berulang-alik untuk mencari rezeki di ibu kota.

“Biasanya kami berkelana selama dua minggu di Kuala Lumpur mencari pelanggan sebelum pulang ke Terengganu untuk berehat sekejap bersama keluarga,” katanya.

Yusof berkata, bagi menjimatkan kos, dia akan menumpang di rumah adiknya sepanjang berada di Kuala Lumpur.

Tambahnya, sekiranya terlalu sibuk menghantar pelanggan hingga lewat malam, dia memilih untuk tidur di dalam kereta atau menumpang teduh di masjid berhampiran.

“Pada mulanya saya menghadapi cabaran untuk memahami selok-belok jalan di Kuala Lumpur dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada aplikasi navigasi.

“Mujur setakat ini, saya me­nerima pelanggan yang baik-baik dan kurang kerenah,” katanya.

Yusof berkata, walaupun kadangkala timbul perasaan rindu kepada isteri dan anak-anak terutama bongsu berusia empat tahun sewaktu berada di perantauan, dia nekad menguatkan diri demi mencari rezeki halal buat keluarganya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI