fbpx

Rezeki berlipat ganda pembekal buluh lemang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pembekal buluh lemang, Pak Enal (kiri) dan Mohd. Sahrizal (kanan) mengakui tidak menang tangan memenuhi permintaan buluh lemang yang meningkat berlipat ganda pada musim perayaan.

BERBEKALKAN sebilah parang dan gergaji, Zainal Abdulah, 70, menunggang motosikal miliknya menuju ke kawasan hutan berhampiran Sungai Tekala di Semenyih, Selangor.

Sebaik tiba di lokasi yang dituju, tanpa berlengah, dia yang lebih mesra disapa Pak Enal mula meredah rimbunan pohon buluh di kawasan itu untuk mencari batang buluh yang sesuai untuk ditebang.“Saya tidak akan menebang sembarangan, sebaliknya hanya menebang buluh yang sudah matang dan mempunyai saiz yang sesuai untuk dijadikan buluh lemang.

“Ini kerana, saya mahu buluh yang masih kecil dapat membesar secara semula jadi agar dapat menebangnya pada masa akan datang. Buluh adalah sebahagian daripada punca pendapatan saya,” katanya.

Dia yang berasal dari Negeri Sembilan dan sudah menetap di Sungai Tekala sejak 40 tahun lalu merupakan antara masyarakat Orang Asli dari suku Temuan di situ yang aktif mencari dan membekalkan buluh lemang.

Zainal yang merupakan Orang Asli suku Temuan mendapatkan bekalan buluh dari kawsan hutan di sekitar Semenyih, Selangor.

Menjadikan aktiviti mencari hasil hutan sebagai punca pendapatan utamanya, dia turut mengakui permintaan terhadap buluh lemang sentiasa ada sepanjang masa tanpa mengira musim.

“Selalunya kalau musim perayaan, permintaan terhadap buluh lemang akan meningkat dan pernah suatu masa dahulu saya mendapat tempahan sehingga 30,000 batang.

“Kebiasaannya, saya akan dibantu empat orang anak lelaki dan seorang menantu untuk mencari buluh lemang di kawasan hutan sekitar Semenyih untuk memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.

Permintaan tinggi terhadap buluh lemang terutama sewaktu musim perayaan turut diakui penjual buluh lemang, Mohd. Aliff Mohd. Razuki, 37.

Mohd. Aliff (kanan) dan rakannya menyusun buluh lemang yang diperoleh daripada masyarkat Orang Asli sebelum dihantar kepada pelanggan.

Dia yang juga tinggal di Semenyih turut mendapatkan bekalan buluh lemang daripada Pak Enal, selain daripada beberapa pembekal lain yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli suku Temuan dari sekitar kawasan berkenaan.

“Pada awal penglibatan saya dalam aktiviti membekalkan buluh lemang sejak tahun 2017, niat saya hanyalah ingin membantu masyarakat Orang Asli di sini untuk memasarkan hasil hutan.

“Selepas mendapati buluh lemang mempunyai permintaan tinggi, saya mula memberi fokus kepada aktiviti membekalkan buluh lemang kepada pelanggan sebagai pendapatan sampingan.

“Pada masa sama, dapat membantu Orang Asli meraih pendapatan hasil daripada mencari buluh di hutan.

“Kebiasaannya, mereka akan mencari buluh padi, buluh minyak dan buluh akar untuk dijadikan buluh lemang kerana faktor fizikalnya yang ringan, tipis dan memiliki ruas yang panjang berbanding beberapa jenis buluh yang lain,” katanya.

Menurut Mohd. Aliff lagi, bagi musim perayaan Hari Raya Aidilfitri kali ini, dia sudah mendapat tempahan kira-kira 5,000 batang buluh lemang untuk dihantar kepada pelanggan atau peniaga lemang.

Kesemua tempahan tersebut katanya, hanya akan dihantar ke pelbagai destinasi di seluruh negara pada minggu terakhir puasa bagi mengekalkan kesegaran buluh.

Jelasnya lagi, setiap buluh lemang dijual antara RM2 hingga RM2.50 sebatang bergantung kepada saiz buluh lemang yang dipesan pelanggan termasuk kos penghantaran.

Tambahnya, selain menjual buluh lemang, dia turut menjual daun pisang dan daun lerek yang kebiasaannya turut digunakan dalam menghasilkan lemang.

Mengenai proses penghantaran pula, kata Mohd. Aliff, kebanyakan pelanggan dari kawasan berhampiran terutama dari sekitar Selangor dan Utara Negeri Sembilan akan datang terus ke tempatnya.

Bagi pelanggan yang jauh dan membuat pembelian secara online pula, dia akan menggunakan perkhidmatan syarikat kurier untuk memudahkan proses penghantaran selain dapat menjimatkan masa dan kos.

Situasi ‘tidak menang tangan’ dalam menyediakan stok buluh lemang pada musim perayaan turut dialami seorang lagi pencari dan pembekal buluh lemang, Mohd. Sahrizal Che Ani, 42, dari Jeneri, Sik, Kedah.

Malah, anak jati Kedah itu turut menganggap musim perayaan sebagai rezeki berlipat ganda bagi dirinya dan rakan-rakannya.

Bahkan, kata Mohd. Sahrizal, bagi musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha tahun ini, mereka perlu menyediakan sehingga 50,000 batang buluh lemang untuk dihantar kepada pelanggan.

“Kebiasaannya, pada setiap tahun saya akan mendapat tempahan dalam jumlah yang besar daripada lebih 15 pelanggan sedia ada melibatkan jumlah ribuan batang bagi setiap daripada mereka.

“Malah, disebabkan kesukaran mereka untuk mendapatkan bekalan buluh lemang, ada pelanggan yang menempah antara 12,000 hingga 15,000 batang sekali gus.

“Selain itu, kami turut mendapat tempahan bagi peniaga lemang yang inginkan bekalan dalam jumlah yang lebih kecil termasuk mereka yang membuat tempahan pada saat-saat akhir,” katanya yang telah menjadi pembekal buluh lemang sejak 15 tahun lalu.

SATU ruangan yang agak luas disediakan pembekal buluh lemang untuk menyimpan buluh sebelum diedar.

Ujar Mohd. Sahrizal lagi, dia lebih gemar berurusan secara terus termasuk melalui panggilan telefon berbanding penjualan menerusi online bagi mengelak berlaku salah faham ataupun manipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ini kerana jelasnya, ramai para pelanggannya yang kerap mengadu ditipu penjual buluh lemang online pada saat-saat akhir Ramadan sehinggakan mereka terpaksa menanggung kerugian.

Menurut Mohd. Sahrizal lagi, walaupun menerima tempahan yang tinggi pada musim perayaan, dia turut membekalkan buluh lemang di luar musim perayaan.

“Biarpun bukan musim perayaan, ada peniagaan yang memerlukan buluh lemang sama ada untuk membuat lemang, hidangan dalam buluh ataupun beberapa masakan lain.

“Walaupun jumlahnya tidaklah banyak iaitu sekitar 500 ke 1,000 batang sebulan berbanding ketika musim perayaan, tetapi permintaan terhadap buluh lemang memang sentiasa ada dan menjadi rezeki buat saya sepanjang tahun,” katanya.

Mengulas cabaran sebagai pencari dan pembekal buluh lemang, Mohd. Sahrizal mengakui dia dan rakan-rakannya sentiasa berdepan dengan risiko setiap kali masuk ke hutan untuk mencari buluh-buluh.

“Kebiasaannya saya dan rakan-rakan akan mencari buluh di kawasan hutan yang berbukit di sekitar Sik dan kawasan hutan sekitarnya.

“Risiko mencari buluh di kawasan hutan tebal ini ialah terpaksa berhadapan dengan ancaman binatang liar seperti harimau dan gajah, selain ular berbisa.

“Malah, jika berlaku hujan lebat dan ribut secara tiba-tiba, kami akan terus keluar dari kawasan hutan kerana kawasan berbukit lebih berisiko untuk terkena pana

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI