fbpx

Akhimullah perlu cabar diri ke Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKHIMULLAH disebut-sebut sebagai calon terbaik untuk penyerang masa depan buat skuad kebangsaan selepas ini.

ERA baharu arena hoki negara sudah pun bermula sebaik sahaja Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengumumkan Sarjit ­Singh sebagai ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan menggantikan Arul Selvaraj.

Sudah tentu peminat sukan tanah air khususnya mengharap­kan pembaharuan dalam skuad Speedy Tigers dalam usaha kembali melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik pada edisi 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).

Senarai pendek 30 pemain diumumkan baru-baru ini bagi menggalas misi negara pada saingan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh, Perak bermula 4 hingga 11 Mei ini serta Piala Negara-Negara FIH di Gniezno, Poland (31 Mei hingga 9 Jun).

Antara nama menjadi perhatian adalah Mohamad Akhimullah Anuar Esook yang dianggap penolong jurulatih skuad kebangsaan, Sukri Mutalib sebagai ‘pewaris’ kepada penyerang berbisa, Faizal Saari.

“Secara jujur, dia memiliki bakat cukup besar dan antara pemain muda yang perlu diketengahkan. Bagi saya, dia adalah pewaris kepada pemain-pemain penyerang seperti Faizal dan Firhan (Ashari).

“Akhimullah perlu diberikan peluang dan kita juga mesti memberi penekanan kepadanya selain mengharapkan dia ada keinginan untuk belajar. Kami mahu dia cepat berkembang, mungkin perlu bermain di luar negara,” kata Sukri.

Tambah beliau, sudah tiba masanya pemain-pemain muda termasuk Akhimullah keluar dari zon selesa dan mencabar diri untuk menimba pengalaman di liga-liga Eropah seperti Jerman, Belgium, Belanda dan England.

Jelasnya, meskipun formula baharu itu masih belum di­usulkan kepada MHC, namun beliau percaya badan induk hoki negara memandang positif dalam usaha mengembangkan bakat-bakat muda ke luar negara.

“Kenapa ramai pemain Argentina, New Zealand dan Australia bagus? Ia adalah kerana hampir 10 hingga 12 pemain mereka beraksi di liga Eropah, sebab itu kita perlu gunakan formula baharu dan tinggalkan cara lama.

“Sebelum ini, kebanyakan pemain berpangkalan di Kuala Lumpur. Kita cuba fikir luar kotak sedikit dan pemain perlu berani untuk keluar. Perkara ini belum diusulkan kepada MHC tetapi saya rasa penerimaan adalah positif,” ujar Sukri.

Sebagai rekod, Akhimullah pernah mencipta fenomena tersendiri apabila membantu skuad hoki lima sebelah (5s) negara meraih pingat emas Sukan Olimpik Remaja (YOG) 2016 di Buenos Aires, Argentina selain turut dinobatkan penjaring terbanyak kejohanan itu.

Kecemerlangan itu diteruskannya apabila kali ini membantu Malaysia muncul naib juara pada edisi pertama Piala Dunia Hoki 5s 2024 di Muscat, Oman awal tahun ini, sekali gus diangkat sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pentas berprestij tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN