fbpx

Balik raya Sarawak, Sherry Alhadad ‘duduk’ hotel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHERRY ALHADAD

BAGI Sherry Alhadad, apalah sangat terlepas sedikit habuan asalkan peluang berkumpul bersama sanak saudara di Kuching, Sarawak sepanjang sambutan Aidilfitri tidak dipersiakan.

Kata pelakon drama bersiri Khunsa itu, momen berhimpun dengan keluarga pada sambutan 1 Syawal lalu menjadi detik paling dinantikan setiap tahun.

Pemilik nama penuh Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad itu turut bersyukur dapat memenuhi permintaan ibu untuk sama-sama ‘terbang’ ke Kuching raya kali ini.

“Sejujurnya saya pertimbangkan rancangan sama ada mahu balik Kuching atau tidak, tetapi demi ibu yang mahu berhari raya dengan adik-beradiknya, memang kena pulang.

“Lagi pun Syawal adalah masa untuk berkumpul dengan saudara-mara, lebih-lebih lagi bagi yang tinggal jauh macam kami di Kuala Lumpur.

“Sebagai anak, perkara penting adalah menggembirakan hati ibu, tambahan pula sudah agak lama dia tidak pulang ke kampung,” katanya.

Masih sibuk dengan pelbagai program televisyen, Sherry, 40, berharap segala komitmen berkaitan kerja diselesaikan mengikut jadual ditetapkan.

Seminggu di kampung

Bersandarkan perancangan awal, Sherry akan menghabiskan masa di Kuching selama seminggu sebelum kembali bekerja.

Sepanjang di Kuching, Sherry dan ibunya menginap di hotel berhampiran kediaman saudara-mara bagi memudahkan aktiviti ziarah.

“Sebenarnya tiada isu pun tinggal di hotel kerana bilik penginapan itu cuma tempat kami salin baju dan tidur sahaja memandangkan kebanyakan masa kami berada di rumah saudara-mara.

“Bukan enggan tinggal di rumah peninggalan nenek, cuma ramai sepupu yang sudah berkahwin dan mempunyai anak kecil, mereka lebih memerlukan ruang.

SHERRY menghabiskan cuti seminggu pertama Syawal di kampung sebelah ibunya di Kuching, Sarawak.

“Paling penting kami semua dapat berkumpul serta menikmati setiap detik dengan gembira. Saudara kami pun faham.

“Alang-alang balik kampung tentu ibu mahu menziarahi kaum kerabat yang sudah lama tak berjumpa. Kami bukannya ‘melekat’ di bilik hotel sahaja,” ujarnya ramah.

Menurut Sherry lagi, kemeriahan sepanjang Syawal di Kuching juga antara perkara yang membuatkan dirinya sentiasa merindukan kampung halaman sebelah ibunya itu.

“Paling seronok di Sarawak adalah rutin berkunjung dari satu rumah ke satu rumah lain pada malam raya yang tentu sahaja meriah.

“Di sana boleh dikatakan suasana beraya memang istimewa apabila sepanjang seminggu hari-hari kita akan keluar beraya atau tetamu datang ziarah.

“Disebabkan itu, tahun ini saya ‘angkut’ tujuh pasang baju kurung untuk digayakan mengikut tempoh saya beraya di Bumi Kenyalang,” katanya yang tegar meneruskan tradisi orang Melayu Sarawak yang akan mengenakan baju Melayu atau kurung selama seminggu pertama Syawal.

Menjunjung budaya Sarawak, tidak membuatkan Sherry melupakan keseronokan sambutan raya bersama keluarga sebelah bapa di Terengganu.

“Saya juga akan pulang ke Terengganu sesudah beraya di Sarawak.

“Jangan risau sebab, rayakan sebulan dan semestinya kita akan ada masa untuk beraya bersama dengan orang-orang tersayang. Insya-Allah,” kata Sherry menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI