BATU PAHAT – Kegembiraan tiga sahabat berhari raya di Kampung Parit Bingan di sini terbantut selepas motosikal yang mereka tunggang melanggar sebatang pokok kelapa sawit tumbang pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu melibatkan dua penunggang motosikal berusia 19 dan 18 tahun serta seorang pembonceng berusia 16 tahun.
Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika dua buah motosikal itu dalam perjalanan dari Kampung Parit Semarang menuju ke Pekan Parit Raja.
“Kedua-dua penunggang motosikal dipercayai melanggar pokok sawit yang tumbang atas jalan. Susulan kejadian itu, seorang penunggang cedera parah,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Ismail berkata, seorang lagi penunggang motosikal dan pembonceng mengalami kecederaan luka di tangan dan kaki. Mereka dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail di sini untuk mendapatkan rawatan. – KOSMO! ONLINE