GUA MUSANG – Keadaan jalan raya di daerah ini mulai sibuk apabila kenderaan perantau dilihat bergerak pulang ke ibu kota hari ini selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Tinjauan Kosmo! mendapati berlaku pertambahan kenderaan di laluan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang-Kuala Lipis dan Gua Musang-Jeli, namun keadaan trafik masih terkawal.
Seorang pengguna jalan raya, Muhd. Farizal Alias, 39, berkata, kenderaan dilihat bertambah menuju ke bandar Gua Musang, namun lalu lintas masih lancar.
Katanya, rata-rata pengguna jalan raya mahu pulang ke Kuala Lumpur untuk kembali bekerja selepas pulang ke kampung halaman sempena cuti perayaan Aidilfitri. baru-baru ini
“Saya bertolak dari Kota Bharu pada pukul 11 pagi tadi dan tiba di bandar Gua Musang pukul 3 petang. Kenderaan perlahan ketika melalui jalan di Masjid Buluh dan projek jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Bandar Baru.
“Saya sempat berhenti berehat di Hentian Rehat Dan Rawat (R&R) Rantau Manis dan Hentian Gua Musang. Kedua-dua lokasi itu penuh dengan kenderaan perantau,” katanya.
Seorang lagi pengguna jalan raya, Mohd. Hazeril Ibrahim, 40, berkata, kenderaan dilihat semakin bertambah menuju keluar Kelantan.
Katanya, mereka sekeluarga merancang pulang ke Kuala Lumpur hari ini kerana trafik dijangka lebih sesak esok.
“Kami merancang untuk pulang hari ini kerana mungkin bilangan kenderaan semakin bertambah keluar dari negeri ini kerana cuti hari raya sudah tamat.
“Kami berharap pengguna jalan raya berhati-hati dalam pemanduan dan selamat tiba ke destinasi yang dituju,” katanya. – KOSMO! ONLINE