KAMPAR – Dua lelaki berdepan detik cemas apabila kereta Mazda yang dinaiki mereka berdua terbabas sebelum terbakar di Jalan Malim Nawar, Kampung Jeram di sini dalam kejadian pada pukul 3.47 pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebelum sampai sembilan minit kemudian.
“Sebaik sahaja sampai dilokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Mazda CX30 musnah 90 peratus dan melibatkan dua mangsa lelaki yang telahpun keluar dari kereta sebaik sahaja bomba tiba.
“Bomba berjaya memadamkan kebakaran kereta sepenuhnya dan dua mangsa yang cedera dihantar ke hospital terdekat untuk rawatan lanjut menggunakan ambulans,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE