fbpx

Bekas CEO TTITC maut kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kemalangan mengorbankan Ajlan yang menunggang motosikal berkuasa besar Harley Davidson di Jalan Kuala Terengganu - Kota Bahru berhampiran Rhu Sepuluh dekat Setiu hari ini.

SETIU – Gara-gara gagal mengelak sebuah kereta yang tiba-tiba membelok masuk di persimpangan, seorang penunggang motosikal berkuasa besar, Harley Davidson maut kemalangan di Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Rhu Sepuluh dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11.35 pagi itu, Datuk Ajlan Mohamad, 61, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Latihan Perkayuan Terengganu (TTITC) meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, sewaktu kejadian, mangsa yang baru bersara hujung tahun lalu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tok Jembal, Kuala Nerus setelah menemui rakannya tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson ditunggangi mangsa gagal mengelak lalu merempuh belakang sebuah Proton Iswara.

“Kereta itu dikatakan hendak membelok masuk ke persimpangan Kampung Pandan Jaya, Penarek dekat sini,” katanya di sini hari ini.

Afandi berkata, impak kemalangan itu menyebabkan Ajlan tercampak dari motosikal berkuasa besarnya sebelum disahkan meninggal dunia.

Beliau berkata, mayat lelaki itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk dibedah siasat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI