PETALING JAYA – “SELAMAT hari raya ‘my favorite couple’.”
Demikian respons ditinggalkan pelakon, Liyana Jasmay dalam ruangan komen hantaran Instagram produser, Gayatri Su-Lin yang berkongsi kemeriahan berhari raya dengan pelakon, Zul Ariffin.
Selain bintang filem J Revolusi, penerbit berusia 48 tahun itu turut meraikan 1 Syawal dengan dua kakak kepada aktor berkenaan.
Secara tidak langsung komen Liyana seolah-olah mengesahkan Gayatri adalah kekasih Zul atau nama lengkapnya Zulkifli Ariffin, 38.
Sekali gus, itu juga petanda dia merupakan calon isteri yang dirahsiakan pelakon terbabit ketika mendedahkan kepada media mahu menamatkan zaman solo akhir tahun ini.
Menerusi semakan Kosmo! Online, terdapat segelintir pengikut media sosialnya turut memberi bayangan mereka sebagai pasangan.
“Kapel (pasangan) paling santai. Tak payah heboh-heboh, tak payah terpaling dedah. Tahu-tahu ‘up’ gambar sekali-sekala,” kata netizen.
Keintiman Zul dengan Gayatri bukan lagi rahsia walaupun percintaan antara mereka yang pernah terjalin pada 2012 berakhir selepas tiga tahun.
Mereka masih akrab dengan sama-sama menghadiri pelbagai majlis, bahkan kemuncaknya Zul menghadiahkan sebuah kereta mewah kepada Gayatri dua tahun lalu.
Namun pelakon filem Penanggal itu menepis dakwaan cinta mereka kembali bertaut, biarpun mengakui wanita terbabit sebagai insan istimewa. – KOSMO! ONLINE