PETALING JAYA – Pendakwah selebriti dan penyanyi, Da’i Syed berkongsi berita gembira apabila isterinya, Hana Ismail kini hamil zuriat pertama mereka.
Perkara tersebut dikongsikan menerusi Instagram miliknya yang menunjukkan Hana memegang perut sekali gus menampakkan ‘baby bump’.
“Makan apa Hana Al Mauzah, lain macam.
“Apa-apa pun kami mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin,” tulisnya ringkas dalam ruangan kapsyen.
Dalam hantaran InstaStory pula, Da’i Syed turut memberikan bayangan tidak lagi berdua pada raya tahun akan datang.
“Tahun hadapan insya-Allah sudah tidak berdua lagi,” ujarnya lagi.
Dalam perkongsian terbabit, pemilik nama sebenar Syed Syah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Jamalullai, 29, mengenakan baju berona hijau sedondon dengan isteri yang juga seorang pengacara.
Bagaimanapun, pasangan yang dilihat beraya di Johor itu tidak memaklumkan usia kandungan.
Rata-rata netizen tumpang gembira dengan berita yang dikongsikan pasangan terbabit.
“Alhamdulillah, tahniah awak berdua. Semoga dipermudahkan segala urusan kalian,” kata peminat.
“Masya-Allah, semoga Allah permudahkan urusan Hana. Diberikan kelancaran untuk mengandung dan bersalin,” ujar pengikut.
Sebelum ini, Syed dan Hana pernah memuat naik sebuah video memberikan bayangan bakal bergelar ibu bapa.
Namun kegembiraan mereka tidak berpanjangan apabila Syed memaklumkan isterinya keguguran ketika kandungan mencecah 10 minggu. – KOSMO! ONLINE