fbpx

Masjid bantu penduduk terputus bekalan makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zakiyuddin (dua dari kanan) menyampaikan mokcek kepada Mohd. Zakuan (kanan) ketika majlis Pelancaran Gerobok Rezeki Pasca PKP Covid-19 di Masjid Negeri, George Town hari ini. - Foto oleh AMIR IRSYAD OMAR

GEORGE TOWN – Mereka yang terputus bekalan makanan khususnya akibat pandemik Covid-19 boleh mendapatkan sumbangan keperluan asas itu di beberapa masjid di negeri ini menerusi inisiatif Gerobok Rezeki Pasca PKP Covid-19.

Menerusi inisiatif itu, masjid-masjid terpilih di negeri ini akan menempatkan satu sudut untuk mengumpul bekalan makanan bagi keperluan mana-mana individu atau keluarga yang terjejas akibat pandemik tersebut.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman berkata, kerajaan negeri turut menyumbang sebanyak RM120,000 kepada enam buah masjid bagi menjayakan inisiatif tersebut.

“Peruntukan ini akan digunakan oleh jawatankuasa masjid bagi membeli barangan makanan asas untuk ditempatkan di gerobok rezeki berkenaan.

“Sehubungan itu, sesiapa sahaja yang terputus bekalan makanan atau yang terjejas pendapatan mereka kerana pandemik Covid-19 boleh mendapatkan bantuan barangan makanan asas ini pada bila-bila masa di masjid-masjid berkenaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan inisiatif itu di Masjid Negeri di sini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Negeri Pulau Pinang, Mohd. Zakuan Zakaria.

Beliau berkata, insiatif itu diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh mereka yang benar-benar terjejas akibat pandemik Covid-19 dan untuk diperluaskan di lebih banyak masjid pada masa depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI