fbpx

Indah Ruhaila pertama kali sambut raya dengan anak tiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA — Penyanyi Indah Ruhaila tidak dapat menyembunyikan rasa teruja apabila dapat meraikan hari raya bersama dua anak tirinya buat pertama kali selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Ujar Indah atau nama lengkapnya Siti Ruhailah Hussein, 37, kedua-dua anak perempuan itu sendiri meminta mahu meraikan Aidilfitri bersamanya dan suami di Johor Bahru.

“Raya tahun ini berbeza sebab saya beraya dengan anak-anak tiri sebab selalunya mereka akan beraya dengan bekas isteri suami.

“Tahun ini saya pulang ke Johor Bahru dan membawa mereka bersama, memang sangat seronok rasanya.

“Apatah lagi mereka sendiri yang pilih untuk beraya dengan kami,” katanya kepada Kosmo! Online.

Paling menyeronokkan kata pelantun lagu Pudar itu, anak-anak tirinya yang memilih tema warna baju raya selain ingin meluangkan masa selama seminggu di Johor.

Ditanya hubungan dirinya dan anak-anak tiri, Indah memberitahu mereka akrab walaupun jarang bertemu.

“Saya tidak mempunyai sebarang masalah bergaul anak-anak tiri kerana sudah menganggap mereka seperti kawan.

“Hubungan kami memang rapat cuma saya jarang jumpa sebab mereka bersekolah di sekolah antarabangsa yang jadualnya tidak sama dengan sekolah biasa.

“Dalam keluarga, saya dianggap seperti kawan mereka. Kadangkala kami keluar bersama macam rakan sebaya,” katanya panjang lebar.

Indah mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Shariff Ahmad Taufiq, 43, pada 24 Disember 2017.

Sebelum itu, Shariff pernah mendirikan rumah tangga namun berakhir dengan perpisahan dengan dikurniakan dua cahaya mata perempuan yang masing-masing berusia 15 tahun dan 11 tahun. — KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI