MELAKA – “Dua tahun sudah abang dia meninggal malam raya sebab kena langgar, semalam adiknya pula, orang tak faham kesedihan kami sekeluarga macam mana,” kata Aslina Abu, 48.
Aslina merupakan ibu kepada Muhammad Amin Fakhrullah Mohd. Faiez, 19, remaja yang maut dalam nahas di Jalan Tanjung Minyak, Bukit Rambai, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi, anak ketujuh daripada 11 beradik itu maut di lokasi selepas motosikal jenis Yamaha Y15 yang dia tunggang bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda City yang tiba-tiba memasuki laluan bertentangan.
Luah Aslina, sebelum ini anak kelimanya, Muhammad Nasululllah, juga maut pada malam raya selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang membuat pusingan U di garisan berkembar di Pantai Puteri, dua tahun lalu.
“Abang dia juga meninggal pada usia 19 tahun sebab kemalangan, berturut-turut hilang anak malam raya sampai saya dan suami trauma nak bagi anak-anak keluar pada malam raya.
“Orang suruh kami bersabar tapi mereka tak merasai berat kesedihan kami ni, hari raya macam dah tak ada makna buat kami sekeluarga,” ujarnya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Pantai Kundor, di sini, malam tadi.
Ujarnya, sebelum kejadian Muhammad Amin sempat mencium pipinya dan memandangnya dengan senyuman ketika ingin keluar rumah.
“Saya suruh dia pakai sweater saya, baju itulah yang tersarung di badannya ketika kemalangan. Saya sampai-sampai (ke lokasi nahas) dia dah ditutup kain putih, macam mana saya tak meraung.
“Masa saya dapat tahu Amin kemalangan, saya doa dekat Allah janganlah ambil nyawanya dan kalau patah riuk pun tak apalah saya boleh jaga, tak sanggup rasanya hilang anak lagi apatah lagi malam raya,” ujarnya sambil menitiskan air mata.
Tambahnya, dia sekeluarga bagaimanapun reda dengan ketentuan Ilahi, namun meminta agar siasatan dijalankan pihak polis membawa kepada tindakan hukuman yang setimpal terhadap pemandu terlibat.
Terdahulu, satu klip video memaparkan Aslina meraung di lokasi nahas turut tular di laman sosial dengan rata-rata netizen bersimpati atas ujian yang menimpa keluarga itu. – KOSMO! ONLINE