KLANG – Seorang abang maut manakala adik lelakinya terselamat dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Keretapi Lama Batu 9, Kapar di sini, malam tadi.
Mangsa yang maut berusia 79 tahun ditemui di bawah timbunan kayu bilik belakang rumah tersebut.
Kediaman mangsa dikatakan bersambung dengan bengkel membuat tangki air mengunakan fiber.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, seramai 15 anggota termasuk pegawai bersama tiga jentera terlibat dalam operasi pemadaman selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.26 malam.
Katanya, ini melibatkan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kapar, Sungai Pinang dan Kota Raja.
“Terdapat seorang mangsa merupakan lelaki warga emas telah dikeluarkan oleh orang awam dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan.
“Pihak bomba yang melakukan pemeriksaan selepas proses pemadaman menemui seorang mayat lelaki warga emas rentung di bawah timbunan kayu di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas beliau, kediaman tersebut musnah 90 peratus keseluruhannya.
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. – KOSMO!ONLINE