THE HAGUE, BELANDA – Jerman berdepan beberapa dakwaan di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam atas tuduhan memudahcara tindakan genosid ke atas penduduk Palestin di Gaza dengan bersekongkol bersama sekutunya, Israel.
Stesen penyiaran Al Jazeera melaporkan, Nicaragua mengemukakan kes itu di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) semalam dan menuntut hakim mengenakan langkah-langkah kecemasan untuk menghalang Berlin daripada menyediakan senjata dan bantuan lain kepada Israel.
Dalam kenyataan pembukaannya, Duta Nicaragua ke Belanda dan ketua delegasi Nicaragua, Carlos Jose Francisco Arguello Gomez berkata: “Pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa termasuk pembunuhan beramai-ramai, sedang berlaku di Palestin. Ia dilakukan secara terbuka.”
Tambah Gomez, negara-negara lain perlu mengelak daripada melakukan tindakan-tindakan yang membantu pelaku, dalam kes itu, Israel.
“Jerman tidak dapat membezakan antara mempertahankan diri dan pembunuhan beramai-ramai dalam kes Gaza,” jelasnya.
Dalam pada itu, Berlin menolak semua dakwan tersebut dan akan mengemukakan pembelaan kepada ICJ hari ini. – AGENSI