PETALING JAYA – Tindakan seorang penunggang basikal mengubah laluan secara tiba-tiba ketika sedang berbasikal bersama rakannya di satu lokasi di Putrajaya semalam mengundang kecaman netizen di laman sosial Facebook.
Klip video yang memaparkan aksi penunggang basikal wanita itu telah dikongsi oleh seorang pengguna Facebook, Ahmad Wildan Ismail pagi tadi dipercayai dirakam menerusi kamera papan pemuka sebuah kereta kira-kira pukul 9.32 pagi semalam.
Menerusi rakaman berdurasi kira-kira tujuh saat itu, kelihatan penunggang wanita telah mengubah laluan basikalnya dari kiri jalan ke laluan kanan tanpa melihat kenderaan yang datang dari arah belakang.
Tindakan wanita itu nyaris menyebabkan kemalangan, namun pemilik asal rakaman tersebut yang juga pemandu kereta sempat memperlahankan kenderaannya bagi mengelak kemalangan berlaku.
Setakat pukul 4.30 petang tadi, video berkenaan telah ditonton lebih 12,000 kali dan dikongsi lebih 150 kali.
Rata-rata netizen mengecam tindakan wanita terbabit kerana tidak peka dengan persekitaran ketika mengayuh basikal di jalan raya serta tidak menghormati pengguna lain.
Kata mereka, tindakan wanita itu bukan sahaja mengundang bahaya kepadanya, malah kepada pengguna jalan raya yang lain.
Seorang netizen yang dikenali sebagai Muhd Syafiq turut meninggalkan komen : “Makin ramai penunggang basikal buat macam jalan sendiri di Putrajaya setiap hari Sabtu,”
Turut meninggalkan komen, Mohd Azam: “Selalu jumpa penunggang macam ni, dia ingat jalan tu dia punya, sesuka hati tukar laluan,”-K! ONLINE