PETALING JAYA – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) memberi amaran kepada semua majikan supaya tidak terpedaya dengan helah pihak tertentu yang tiada latar belakang kesihatan dan orang tengah yang menawarkan perkhidmatan ujian saringan Covid-19.
Presidennya, Prof. Datuk Dr. Subramaniam Muniandy berkata, pihak terbabit dikatakan menyasarkan doktor (GP) yang sedang berjuang memerangi wabak itu dan didapati cuba memaksa mereka untuk menerima harga terendah untuk khidmat profesional yang diberikan, semata-mata mahu memperoleh diskaun lebih besar daripada majikan.
“MMA sangat prihatin dengan hal ini, kerana sekiranya khidmat profesional (doktor) tidak dibayar setimpal dengan pekerjaan yang dilakukan, ia mungkin tidak dapat menanggung kos ujian saringan sekali gus akan menjejaskan kualiti perawatan.
“Sebenarnya kos akan menjadi lebih rendah jika majikan dapat berurusan dan berbincang secara langsung dengan doktor kerana ia tidak membabitkan bayaran kepada orang tengah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, terdapat 626 klinik panel Pertubuh Keselamatan Pekerja (Perkeso) yang menyediakan perkhidmatan ujian saringan Covid-19 untuk pekerja asing dan senarai lengkap boleh didapati menerusi laman webnya di www.psp.perkeso.gov.my
“Kami ingin mengingatkan orang ramai bahawa kid ujian RTK Antigen hanya dapat dilakukan oleh pegawai perubatan profesional yang terlatih mengikut garis panduan pencegahan penyakit berjangkit yang ketat, oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“MMA mengingatkan bahawa seseorang mungkin berisiko tinggi mengalami kecederaan atau masalah kesihatan lain atau memperoleh keputusan ujian negatif yang palsu, sekiranya ujian saringan (COVID-19) tidak melalui prosedur yang betul,” katanya. – K! ONLINE