PETALING JAYA – Biarpun tinggal dua hari lagi umat Islam dijangka menyambut Hari Raya Aidilfitri, namun masih ada suara-suara mempersoalkan mengapa anak bulan tidak dicerap pada 28 Ramadan iaitu hari ini.
Persoalan berkenaan dijawab Sr Muhammad Daud Mahdzur daripada Seksyen Graviti dan Falak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang memaklumkan, adalah terlalu awal sekiranya cerapan anak bulan dilakukan pada 28 Ramadan.
“Cerapan anak bulan sepatutnya dibuat pada 29 hari bulan di mana ia merupakan tarikh yang menentukan bulan baru sama ada esoknya adalah 30 hari bulan atau pun hari pertama bagi bulan baharu.
“Jika JUPEM membuat pemerhatian pada 28 haribulan bermakna ianya terlalu awal pada waktunya,” katanya dalam satu video TikTok JUPEM.
Mengulas mengenai mengapa masih perlu melihat anak bulan dan tidak menggunakan data hisap sedia ada, Muhammad Daud memberitahu, tarikh hari raya tidak boleh ditetapkan sewenang-wenangnya dan perlu melalui proses mencerap anak bulan.
“Kita mesti periksa anak bulan juga sebab Malaysia mengamalkan kaedah rukyah dan hisab bagi menentukan bulan baru khususnya bagi tiga bulan utama iaitu Ramadan, Syawal dan Zulhijah.
“Rukyah adalah meihat anak badan dan hisab adalah hitungan, jadi untuk tiga bulan utama ini kita laksanakan rukyah untuk Ramadan, Syawal dan Zulhijah,” katanya.
Tegasnya, setelah selesai cerap anak bulan, laporan akan dihantar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad kemudian beliau sendiri yang akan mengumumkan tarikh raya.
“Jadi, kita kena tunggu pada 29 hari bulan malam itu dan tunggu pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
@jupem.my KENAPA? ❓tidak cerap anak bulan pada 28 Ramadan ❓perlu cerap anak bulan, walaupun dah tahu kiraannya ❓Bila tarikh Raya…. Penjelasan ringkas oleh Sr Muhammad Daud (Seksyen Graviti dan Falak, Bahagian Ukur Geodetik, JUPEM) SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR BATIN #hilalsyawal #cerapanakbulan #ilmufalak #hariraya ♬ original sound – JUPEM