SHEFFIELD – Chelsea kembali menampilkan aksi ‘yo-yo’ selepas sekadar mencatat keputusan seri 2-2 ketika menentang Sheffield United pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Bramall Lane awal pagi semalam.
Aksi longlai ditampilkan The Blues nyata jauh berbeza jika dibandingkan ketika mereka melakukan kebangkitan dengan menewaskan Manchester United 4-3 pada perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge Jumaat lalu.
Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino menyuarakan rasa kecewa atas kegagalan skuad kendaliannya mengutip tiga mata penuh memandangkan mereka berpeluang untuk memperbaiki kedudukan sekiranya menang.
“Sudah tentu ia sangat mengecewakan kerana melepaskan gol penyamaan pada minit-minit akhir permainan. Saya juga kecewa kerana ini adalah perlawanan yang sepatutnya kami menang dan bawa pulang tiga mata.
“Kami menguasai permainan tetapi gagal untuk mencipta peluang menjaringkan gol. Sekarang kami perlu keseimbangan kerana kami sering melepaskan gol kepada pasukan lawan ketika sedang mendahului,” katanya.
Pada perlawanan itu, Chelsea yang beraksi sebagai pasukan pelawat menjaringkan gol menerusi Thiago Silva dan Noni Madueke, manakala gol Sheffield dijaringkan Jayden Bogle dan Oli McBurnie.
“Bagi saya, ini adalah proses yang normal untuk pasukan muda seperti kami. Saya akan buat analisis terhadap skuad sebaik sahaja saingan musim ini berakhir untuk melihat apakah yang diperlukan oleh pasukan,” ujar Pochettino. – AGENSI