LONDON – Tottenham Hotspur menghidupkan peluang melangkah ke Liga Juara-Juara musim depan apabila kembali menghuni kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menang 3-1 ke atas Nottingham Forest malam awal pagi semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tottenham Hotspur itu, Spurs meledak tiga gol menerusi Micky van de Ven, Pedro Porro dan jaringan sendiri Murillo, manakala gol Forest dijaringkan Chris Wood.
Pengurus Spurs, Ange Postecoglou bagaimanapun tidak teruja dengan kejayaan kembali berada dalam kelompok empat teratas memandangkan objektif beliau hanya memastikan pasukan menampilkan aksi lebih baik.
“Kami bermain sangat baik hari ini (semalam), semua pemain memberikan segala-galanya sejak minit pertama. Kami bukan sahaja menjaringkan gol, malah menguasai sepenuhnya pertemuan hari ini (semalam).
“Secara jujur, saya tidak peduli dengan perebutan kelompok empat teratas kerana apa yang paling untuk saya adalah perkembangan pasukan. Saya hanya mahu melihat progres pasukan ke arah lebih baik,” katanya.
Pengendali dari Australia itu mengakui gembira dengan kebangkitan ditampilkan barisan pemainnya selepas Forest menyamakan kedudukan sehingga berjaya meledak dua gol bagi memastikan tiga mata menjadi milik Spurs.
“Kami melepaskan satu gol hasil daripada serangan balas pantas dilakukan pasukan lawan dan ia sangat mengecewakan, namun respons yang kami tunjukkan di separuh masa kedua membuktikan Spurs adalah pasukan dominan,” ujar Postecoglou. – AGENSI