fbpx

Gejolak kem Thailand rahmat buat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD negara mungkin meraih suntikan moral selepas mengetahui apa yang melanda kem Thailand, namun tidak boleh terlalu selesa.

KEKECOHAN yang berlaku dalam kem sepak takraw Thailand pada ketika ini boleh dianggap sebagai ‘rahmat’ buat skuad kebangsaan menjelang saingan Sepak Takraw Piala Dunia yang akan berlangsung di Kuala Lumpur bermula 18 hingga 26 Mei depan.

Struktur kejurulatihan skuad Gajah Perang itu difahamkan sudah dirombak Persatuan Takraw Thailand selepas timbul isu penyelewengan berhubung penggunaan dana yang diperuntukkan pihak kerajaan.

Justeru, apit kiri berpengalaman negara, Farhan Adam menganggap situasi ‘kucar-kacir’ yang melanda arena sepak takraw Thailand memberikan sedikit kelebihan buat Malaysia pada saingan Piala Dunia nanti.

Bagaimanapun, dia memberi amaran supaya tidak berasa terlalu selesa memandangkan sebahagian besar pemain Thailand yang memenangi pingat emas pada Sukan Asia Hangzhou tahun lalu masih dikekalkan.

“Walaupun mereka tidak ada jurulatih yang sebelum ini, tetapi pemain-pemain mereka masih kekal hampir 80 peratus. Sebenarnya, (kekuatan) mereka masih sama, jadi tidak anggap ia sebagai kelebihan.

“Namun, mungkin keadaan itu sedikit sebanyak dapat membantu kami nanti. Kami tidak kisah siapa pun yang ada pada kejohanan nanti kerana matlamat kami adalah untuk turun bermain dan dapatkan kemenangan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas ketiadaan dua jaguh Thailand, Pornchai Kaokaew dan Pattarapong Yupadee yang mengumumkan persaraan, Farhan tetap berwaspada dengan ancaman yang mampu diberikan musuh tradisi berkenaan.

“Saya difahamkan, mereka bukan tidak terpilih tetapi sudah bersara. Seperti saya cakap sebelum ini, pasukan Thailand 80 peratus adalah skuad yang memenangi pingat emas Sukan Asia Hangzhou.

“Kami memang tidak sabar untuk berjumpa dan berlawan dengan mereka. Sebenarnya, tidak kisah siapa pun jurulatih, asalkan pemain itu ada kemahuan sendiri, sama juga seperti Malaysia,” ujarnya.

Sebagai rekod, Malaysia muncul juara dalam kejohanan empat tahun sekali itu adalah ketika edisi pertama yang dilangsungkan pada 2011 di Kuala Lumpur dengan menewaskan Thailand 3-0 di perlawanan akhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI