GUA MUSANG – Seorang lelaki warga emas maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 27, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 3.45 petang itu, mangsa, Wan Jusoh Ab. Rahman, 70, dari Felda Chiku 1, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan, tangan dan kaki patah.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan mendapati nahas berlaku apabila warga emas itu yang memandu kereta jenis Perodua Kancil dari arah Kuala Krai ke Gua Musang bersama tiga penumpang dipercayai bertembung dengan sebuah kereta Honda City dari arah bertentangan.
Katanya, kereta Honda City yang berada dari arah Gua Musang ke Kuala Krai yang terbabas masuk ke laluan bertentangan turut merempuh dua buah lagi kenderaan jenis Perodua Axia dan Proton Persona.
“Kemalangan itu menyebabkan Wan Jusoh tersepit di dalam keretanya yang remuk.
“Mangsa dikeluarkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini. – KOSMO! ONLINE