LOS ANGELES – Syarikat penerbitan Disney bakal menerbitkan filem sekuel Star Wars terbaharu, Rogue Squadron yang dijadualkan menemui penonton di pawagam pada penghujung tahun 2023.
Filem tersebut yang akan diarahakan oleh pengarah Wonder Woman, Patty Jenkins itu bakal mengenengahkan suasana galaksi pada era masa hadapan.
Jalan cerita filem berkenaan akan memperkenalkan generasi terbaharu watak juruterbang starfighter yang berjuang dan mempertaruhkan nyawa dalam menempuh perjalanan hidup penuh cabaran.
Jenkins berkata, dia tertarik untuk menerima tawaran mengarahkan filem tersebut selepas mendapat inspirasi daripada mendiang bapanya yang merupakan seorang juruterbang angkatan tentera.
“Apabila ayah meninggal dunia semasa berkhidmat untuk negara, ia memacu semangat saya dalam menukarkan tragedi yang berlaku kepada sebuah filem juruterbang jet pejuang terhebat sepanjang zaman,” katanya.
Selain itu, pemilihan Jenkins sebagai pengarah akan menjadikan dia wanita pertama yang mengarahkan filem Star Wars.
Terdahulu, Jenkins dilihat memuat naik sebuah video di laman Twitter yang menunjukkan dia memakai topi keledar watak starfighter filem itu dan berkawad menuju sebuah pesawat X-wing.
Sementara itu, Presiden Lucasfilm, Kathleen Kennedy berkata, pihaknya juga bakal menerbitkan beberapa siri televisyen di saluran Disney+ termasuk Rangers of the New Republic dan Ahsoka serta Lando yang diinspirasikan daripada watak asal Star Wars, Lando Calrissian. – AFP