KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka satu kertas siasatan berkaitan dakwaan jenama kasut memaparkan logo mirip kalimah Allah pada tapaknya yang tular di media sosial, hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah menerima satu laporan daripada seorang lelaki berusia 35 tahun di Pulau Pinang.
Katanya, pengadu menyatakan pada pukul 4.32 pagi terlihat satu hantaran di Facebook dibuat berkaitan satu bentuk penghinaan ke atas kalimah Allah.
“Menerusi hantaran tersebut , tertera satu bentuk dan lambang menyerupai kalimah Allah di tapak kasut berjenama Verns. Hantaran tersebut telah di kongsi kira-kira 8,000 orang.
“Susulan itu, kita membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci serta niat jahat atau memudaratkan perpaduan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Susulan itu, Razarudin berkata, pihaknya menjalankan siasatan lanjut mengenai kes tersebut.
“Kita akan mengesan saksi-saksi berkaitan bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Terdahulu, tular di media sosial seorang pengguna mendakwa terdapat kalimah Allah di bawah tapak kasut yang dibelinya.
Pengguna Facebook, Mohd. Haridz memaklukan telah membeli sepasang kasut daripada jenama tersebut untuk isterinya bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Bagaimanapun, katanya, dia terkejut selepas melihat kasut tersebut mempunyai kalimah Allah di bahagian tapak.
Menerusi resit yang dipaparkan kasut wanita itu berharga RM100 sepasang dan dipercayai dibeli di pusat beli belah Kuantan Parade.
Mengulas lanjut, Haridz berkata, dia akan kedai itu semula bagi meminta penukaran kasut atau meminta wangnya semula.
Sebelum ini, media melaporkan, KK Super Mart menerima kecaman teruk susulan penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di salah satu cawangannya di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor.-KOSMO! ONLINE.