PETALING JAYA – Perunding perkahwinan ditemui maut selepas terjatuh dari tingkat 13 bangunan komersial di Kelana Jaya, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada seorang wanita tempatan mendapati mangsa terjatuh dari sebuah bangunan pada pukul 2.55 petang.
Katanya, saksi awam turut memaklumkan terdengar bunyi seperti letupan sebelum mendapati cermin atap kaca pecah dan menemukan seorang wanita terbaring tidak bernyawa.
“Siasatan awal mendapati wanita berusia 37 tahun itu merupakan perunding perkahwinan telah meninggal dunia dalam keadaan terbaring di hadapan lobi bangunan 13 tingkat dengan kaca berselerakan.
“Disyaki mangsa jatuh di atas atap kaca dahulu sebelum jatuh ke lantai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Shahrulnizam, siasatan lanjut di ruang legar tingkat 13 bangunan tersebut menemui barangan mangsa dengan sehelai kertas nota bertulis ‘semua punca dewan aku mati!!!’.
Menurutnya, pemeriksaan tubuh wanita itu terdapat kecederaan parah pada belakang kepala, belakang badan serta kedua-dua tangan patah akibat hentakan pada atap kaca dan lantai.
“Mangsa dikejarkan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian,” ujarnya.
Tambah beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Orang ramai yang mengetahui atau melihat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung dengan Ketua Polis Balai Kelana Jaya, Asisten Superintendan Mazli Jusoh, di talian 03-78062222 bagi membantu siasatan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.