BRIGHTON – Arsenal meneruskan aksi konsisten apabila terus mencabar takhta kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menang selesa 3-0 ke atas Brighton pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Amex awal pagi semalam.
Tiga gol menerusi jaringan Bukayo Saka, Kai Havertz dan Leandro Trossard memastikan The Gunners terus memberi tekanan kepada dua lagi pencabar gelaran liga musim ini, iaitu Manchester City dan Liverpool.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menyuarakan rasa gembira atas kemenangan tersebut memandangkan Brighton cukup kebal ketika beraksi di laman sendiri apabila masih belum tewas di Stadium Amex sejak Ogos tahun lalu.
“Saya sangat gembira dan kami menampilkan prestasi cukup menakjubkan. Brighton tidak pernah tewas di sini sejak Ogos tahun lalu dan itu memberikan gambaran bahawa mereka adalah pasukan yang sangat baik.
“Mereka sentiasa menjanjikan aksi sukar terhadap setiap pasukan lawan yang berkunjung ke sini. Bagaimanapun, kami menampilkan aksi luar biasa dan berjaya menewaskan mereka di gelanggang sendiri,” katanya.
Pengendali dari Sepanyol itu juga memuji kematangan yang ditunjukkan barisan pemainnya memandangkan musim lalu mereka gagal berdepan tekanan di penghujung saingan sehingga menyaksikan mereka terlepas peluang meraih kejuaraan.
“Pemain-pemain sudah semakin berusia dan mereka mengharungi banyak cabaran bersama. Bagi saya, mereka sudah memiliki hubungan yang cukup baik dan ia sangat penting dalam bola sepak hari ini,” ujar Arteta. – AGENSI