SEVILLE – Pasukan Athletic Bilbao menamatkan kemarau 40 tahun tanpa sebarang trofi dengan melakar sejarah menjulang Piala Raja Sepanyol apabila menewaskan Real Mallorca menerusi penentuan penalti 4-2 di pentas final awal pagi semalam.
Pada aksi dit Stadium La Cartuja itu, kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi 90 minit dengan skuad The Basque meraih gol menerusi Oihan Sancet manakala Mallorca mendapatkan jaringan hasil ledakan Dani Rodriguez.
Namun, penjaga gol Bilbao, Julen Agirrezabala muncul wira apabila menyelamatkan sepakan penalti yang diambil oleh Manu Morlanes manakala tendangan Nemanja Radonjic pula terkena palang gol.
Keputusan tersebut menyaksikan skuad kendalian Ernesto Velverde itu turut menamatkan badi apabila tewas pada aksi final Piala Raja Sepanyol enam kali berturut-turut selepas menjulang trofi pada edisi 1984.
Penyerang Bilbao, Nico Williams mengakui sangat bangga dapat membantu pasukan menjulang trofi bersejarah itu sekali gus menamatkan kedukaan hampir 40 tahun kemarau tanpa sebarang piala berprestij.
“Ini adalah malam yang cukup luar biasa kerana kita semua sudah mencipta sejarah. Kami mahu hadiahkan keputusan ini buat penyokong setia yang sentiasa berada di belakang pasukan.
“Ini adalah kelab saya sejak kecil lagi dan sudah tentu saya anggap kejayaan ini umpama mimpi menjadi realiti. Saya bangga dengan rakan-rakan sepasukan dan ini adalah kemenangan untuk kita semua,” kata Williams yang telah diberikan anugerah pemain terbaik perlawanan. – AGENSI