PETALING JAYA – Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum terhumban dalam longkang berhampiran bulatan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 6 petang itu, mangsa berusia 24 tahun dikatakan hanya terseliuh tangan kiri.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, pihaknya terima panggilan berhubung kemalangan itu pada pukul 6.30 petang.
“Mangsa memandu kereta jenis Proton Saga FLX itu seorang diri terbabas ke dalam longkang besar itu.
“Mangsa keluar sendiri melalui pintu kanan bahagian pemandu sebelum berjalan kaki mendapatkan bantuan di Pos Bantuan MAB berhampiran terminal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Difahamkan 300 meter jarak terminal dengan lokasi kejadian.
Menurutnya lagi, mangsa diberi bantuan awal sebelum dihantar ke hopsital oleh pihak ambulans.
“Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – K! ONLINE