MELAKA – Seorang penganggur berdepan hukuman penjara 20 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memukul isterinya menggunakan seterika pada bulan lalu.
Tertuduh, Muhamad Hafizan Mohd. Yusoff, 36, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Hakim Norma Ismail.
Lelaki itu didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan seterika ke atas isterinya, Siti Khadijah Zakariah, 28, di sebuah rumah di Kampung Limbongan pada pukul 6.30 petang, 25 November lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Tertuduh berdepan dengan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama.
Kesalahan di bawah Seksyen 326A itu memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum.
Difahamkan, sebelum kejadian, tertuduh meminta wang daripada isterinya namun wanita itu hanya memberikan RM40 kepadanya.
Tidak berpuas hati dengan jumlah itu, tertuduh bertengkar dengan mangsa sebelum memukulnya dengan seterika di kepala.
Norma membenarkan tertuduh diikat jamin RM5, 000. Sebutan semula kes pada 12 Januari tahun depan.-K! ONLINE