LONDON – Pasukan Manchester City terpaksa bermandi peluh sebelum melakar kemenangan 4-2 ke atas Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium Selhurst Park itu, skuad The Citizen kendalian Pep Guardiola membuat kejutan untuk tidak meletak pemain sensasi, Phil Foden dalam kesebelasan utama.
Pasukan tuan rumah bermula garang apabila meraih gol seawal minit ke-3 menerusi ledakan Jean Phillipe-Mateta yang menyudahkan hantaran Adam Wharton.
Tersentak dengan gol tersebut, City mula memperkemaskan jentera serangan dan hanya mengambil masa 10 minit untuk menyamakan kedudukan hasil jaringan Kevin de Bruyne.
Bersambung pada separuh masa kedua, aksi semakin rancak apabila City berjaya mendahului buat kali pertama dengan kali ini gol dijaringkan oleh pemain muda, Rico Lewis pada minit ke-64.
Jaringan tersebut menyaksikan pasukan bertambah semangat dengan meledak gol ketiga hasil jaringan penyerang sensasi, Erling Haaland selepas menerima hantaran De Bruyne pada minit ke-66
De Bruyne melengkapkan hari cemerlangnya dengan gol kedua peribadi berselang empat minit kemudian setelah menyudahkan umpanan Rodri.
Ketika City dilihat selesa mendahului 4-1, Palace mengambil kesempatan dengan menjaringkan kol kedua hasil penyudah Odsonne Edouard pada penghujung perlawanan dengan kedudukan 4-2 kekal sehingga wisel penamat.
Keputusan tersebut menyaksikan City kini berkongsi kedudukan dengan Liverpool selaku pendahulu EPL dengan 70 mata. – KOSMO! ONLINE