PETALING JAYA – Sebuah video tular memaparkan pekerja luar pesisir (offshore) beramai-ramai pulang ke kampung halaman bagi meraikan Syawal bersama keluarga tercinta.
Menerusi video yang dimuat naik @nabieqnazri, difahamkan dirinya terpaksa bekerja bagi memberi peluang kepada kawan-kawannya yang lain untuk pulang bercuti.
Kelihatan para pekerja yang sudah berada di atas kapal pesisir pantai itu teruja malah melambai-lambai gembira kepada mereka yang tidak dapat bercuti.
Dengan kapsyen ‘hanya mampu tengok kawan-kawan balik raya’, lelaki itu turut berkata, setiap pekerja ‘offshore’ pulang bercuti selama dua minggu sahaja.
Sehingga kini video tersebut mendapat 825,100 tontonan, 45,700 tanda suka dan 692.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati, ramai ahli keluarga pekerja ‘offshore’ berkongsi kesedihan apabila suami atau ahli keluarga tidak dapat pulang setiap kali tibanya Syawal.
“Saya isteri pekerja ‘offshore’. 11 tahun kahwin, tahun lepas baru sekali dapat raya bersama. Tu pun arwah ayah saya meninggal pagi 1 Syawal,” komen Tiey.
“Isteri pekerja ‘offshore’ hadir. Tapi tiga tahun lepas. Al- Fatihah untuk arwah suamiku. Masa inilah hati kita dan anak-anak berbunga-bunga tunggu suami balik nak sambut raya sama-sama,” komen Shahidah.
“Pengorbanan seorang pekerja ‘offshore’. Semoga Allah merahmati setiap pekerjaan kalian,” komen pengguna lain pula. – KOSMO! ONLINE
@nabieqnazri 23 RAMADHAN. #fypシ゚viral #offshoreman👨🔧 #oilandgas ♬ Masa Laluku – Kangen Band