fbpx

Anggota imigresen didakwa terima rasuah lepaskan warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Al-Ridhuan keluar selepas didakwa atas pertuduhan menerima rasuah bagi melepaskan warga asing di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Seorang anggota imigresen yang ditahan dalam Ops Selat baru-baru ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 17 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM21,500.

Tertuduh, Mohd. Al-Ridhuan Ahmad Zaini, 35, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Penjawat awam itu didakwa menerima suapan berjumlah RM21,500 daripada seorang wanita menerusi dengan 17 transaksi ke akaun Bank Muamalat sebuah syarikat milik isteri tertuduh.

Suapan itu adalah upah untuk tertuduh sebagai Pegawai Imigresen (KP19) untuk membantu melepaskan warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 melalui Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) tanpa diambil tindakan undang-undang.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Jalan Tasik Utama, Medan Niaga Tasik Damai di sini pada 25 Julai hingga 11 November lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan ikat jamin RM80,000 bagi kesemua pertuduhan kerana kesalahan yang dilakukan serius.

Peguam Harcharanjit Singh memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan sepanjang siasatan dijalankan tertuduh memberikan kerjasama.

“Tertuduh juga mempunyai tanggungan tiga anak berusia dua hingga tujuh tahun dan isterinya mempunyai masalah kesihatan,” katanya.

Hakim Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu mangsa.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Januari 2021.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan SPRM membongkarkan kegiatan salah guna cap di pintu masuk dan keluar negara dengan penahanan 46 individu termasuk 27 anggota dan pegawai imigresen.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI