PETALING JAYA – Tindakan selebriti media sosial, Ameera Khan yang juga merupakan adik kepada selebriti popular, Neelofa memuat naik foto dalam aksi sedang bercangkung telah mendapat perhatian netizen. Masing-masing terkejut melihat penampilannya.
Menerusi foto yang dikongsikan, kelihatan Ameera mengenakan busana serba ketat berwarna coklat muda persis menyerupai kulit serta digayakan dalam posisi bercangkung.
Penampilan selebriti media sosial berusia 20 tahun itu yang kelihatan persis seperti gaya selebriti terkenal dunia, Kim Kardashian bagaimanapun tidak disenangi segelintir netizen yang menganggapnya sebagai keterlaluan dan sangat luar biasa.
Rata-rata pengikutnya dalam laman sosial memberitahu, awalnya mereka menyangka Ameera berada dalam keadaan berbogel kerana mengenakan pakaian terlalu ketat dan warnanya menyerupai rona kulit.
“Maaf cakap. Aku ingatkan dia telanjang tadi,” kata salah seorang pengguna Instagram.
Komen lain menyebut bahawa dia tidak teragak-agak untuk memboikot selebriti tersebut kerana menyifatkan penampilannya sebegitu agak melampau.
Menjadi adik kepada figura terkenal iaitu Neelofa, ada juga yang meninggalkan komen menyeru supaya Ameera menjaga kelakuan termasuk dari segi berpakaian memandangkan kakaknya kini telah berniqab.
Difahamkan, gambar tersebut dirakam Ameera semasa menjadi duta salah sebuah jenama produk rambut tempatan. Namun tinjauan dalam akaun Instagramnya turut mendapati gambar tersebut telah dipadam.
Meskipun dihentam teruk, terdapat juga segelintir pengikutnya tampil mendoakan agar suatu hari nanti, Ameera akan mengikut jejak kakaknya untuk berhijrah ke arah yang lebih baik. – K! ONLINE