PETALING JAYA – Pelakon Ezzaty Abdullah berdepan detik cemas apabila terlibat dalam kemalangan selepas kereta dinaikinya melanggar penghadang jalan.
Akibat kemalangan tersebut, kenderaan Ezzaty, 30, terpaksa ditarik mengguna jentera penarik kereta.
Perkara berkenaan dikongsi sendiri oleh pelakon drama Cinta Sekali Lagi itu menerusi Instagramnya awal pagi tadi ketika dia dalam perjalanan pulang dari set penggambaran.
“Allahuakbar, kali pertama kereta kena tarik, kemalangan sendiri langgar penghadang jalan.
“Habis penggambaran pukul 1 pagi dari pukul 9 pagi tadi. Alhamdulillah, nasib baik saya dan pengurus tidak apa-apa,” tulisnya.
Isteri kepada pelakon Azwan Kombos itu berkata, kenderaan terbabit dipandu sendiri olehnya namun kejadian tersebut berlaku bukan disebabkan dia mengantuk.
“Tidak dapat nak elak penghadang jalan sebab mahu elak lori dan kereta di belakang.
“Esok 7 pagi di Sekinchan, Selangor. Sekarang 3.38 pagi baru selesai semua dan mandi. Jom tidur 30 minit (syukur ada masa sekejap untuk rehat). Kejap lagi pukul 4 nak bangun pergi kerja.
“Perjalanan dua jam juga nak ke Sekinchan. Bukan mudah nak senang. Harap semuanya ada hikmah dan hasil,” kata Ezzaty. -K!ONLINE