fbpx

Budak 3 tahun maut akibat strok haba sempat dirawat di HUSM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang menjadi mangsa strok haba di negeri ini sempat menerima rawatan di hospital sebelum meninggal dunia pada Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Husin berkata, mangsa mula dirawat dan dimasukkan ke di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini pada 29 Mac lalu.

“Kejadian itu berlaku di Kampung Teluk, Bachok yang membabitkan kanak-kanak lelaki berusia tiga. Mangsa telah mendapatkan rawatan di HUSM pada 29 Mac lalu.

“Selepas empat hari menerima rawatan, mangsa disahkan meninggal dunia pada 1 April lalu akibat strok haba,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan terdapat satu kes kematian akibat strok haba telah berlaku minggu ini.

Dalam pada itu, Zaini turut mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak tidak terdedah kepada aktiviti-aktiviti di luar rumah ketika musim kemarau ini.

“Sekiranya terpaksa berada di luar rumah, ibu bapa disarankan untuk menggunakan perlindungan diri kepada anak-anak seperti memakai topi, payung dan mengenakan pakaian yang nipis.

“Selain itu, pastikan penggunaan kipas dan pengudaraan yang baik di rumah atau di luar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI